Monday, February 7, 2011

Pro & Kontra: Harus ikhlas lepas pemain muda.




JIKA benar impian penjaring terbanyak kejohanan Piala AFF Suzuki, Safee Sali menjadi realiti beraksi di sebuah kelab dalam Liga Super Indonesia (ISL), ia adalah satu detik kebanggaan untuk dirinya, Selangor dan negara.

Penyertaan penjaring lima gol di AFF 2010 itu ke kelab pilihannya, setidak-tidaknya meredakan ketegangan hubungan antara Malaysia dan Indonesia ekoran final Piala Suzuki baru-baru ini.

Walaupun menjadi satu kehilangan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), mereka harus berbangga kerana dapat melahirkan seorang bintang dan inilah masanya pemain muda itu menimba pengalaman baru dan meningkatkan tahap kemahirannya.
Ia juga menjadi pembuka jalan kepada pemain tempatan untuk lebih bersemangat beraksi di luar negara.

Sejak kejayaan Malaysia menjulang Piala AFF, bola sepak negara memberi petanda baik untuk melangkah lebih jauh, lebih-lebih lagi dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa kerajaan bersedia menaja mana-mana pemain yang berminat beraksi di luar.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah kepimpinan Sultan Ahmad Shah juga mempunyai perancangan tersendiri untuk membolehkan skuad Bawah 23 negara menimba lebih banyak pengalaman di luar.

Begitupun, impian ini hanya boleh dicapai sekiranya persatuan bola sepak negeri dan kelab yang diwakili pemain B-23 itu, memberi kerjasama dan melepaskan pemain mereka tanpa syarat, dan mengetepikan kepentingan sendiri demi masa depan bola sepak negara.

Sumber: Berita Harian.com.my

No comments: